Nov 7, 2016

Sintaksis - Ayat

  1. Ayat ialah satu atau serangkai perkataan yang disusun untuk menghasilkan sesuatu maksud yang bermakna.
  2. Ayat tidak bermakna jika tidak mempunyai makna.
  3. Fungsi asas ayat ialah untuk menyampaikan maksud atau mesej.
  4. Satu perkataan sudah boleh membentuk ayat. Namun ayat yang lebih kerap digunakan terdiri daripada rangkaian perkataan.
  5. Ayat dalam bentuk tulisan perlu mempunyai nokhtah untuk menandakan penamat ayat.
  6. Ayat dalam bentuk ujaran (lisan) memerlukan intonasi (naik turun nada).
  7. Unsur dalam satu-satu ayat ialah klausa, sama ada satu atau lebih klausa. Ayat dengan satu klausa sahaja dinamakan ayat tunggal manakala ayat dengan beberapa klausa disebut sebagai ayat majmuk.
  8. Klausa pula terdiri dari Frasa iaitu Frasa Subjek dan Frasa Predikat. Frasa boleh terdiri dari satu perkataan sahaja, iaitu sama ada Frasa Subjek sahaja, atau Frasa Presikat sahaja.
  9. Binaan ayat terdiri dari subjek dan predikat. Subjek ialah benda yang hendak diceritakan (diterangkan) manakala predikat pula ialah cerita (keterangan) tentang benda tadi.
  10. Susunan biasa ayat ialah subjek mendahului predikat. Dalam ayat songsang pula, proses pendepanan berlaku, iaitu predikat diletakkan di bahagian hadapan.
  11. Ayat Dasar ialah ayat yang menjadi dasar atau sumber bagi pembentukan semua ayat lain dalam sesuatu bahasa. Ayat ini menjadi ayat dasar kepada ayat-ayat lain. Ayat dasar mempunyai satu klausa sahaja

Bentuk Ayat: tunggal & majmuk

Ada dua bentuk ayat iaitu ayat tunggal dan ayat majmuk.

  1. Ayat Tunggal ialah ayat yang mempunyai satu klausa sahaja.
  2. Ayat Majmuk ialah ayat yang mempunyai lebih dari satu klausa.

Contoh ayat tunggal (satu klausa sahaja)

Contoh ayat tunggal:
Bapa saya seorang pensyarah
Klausa (satu sahaja)
Frasa SubjekFrasa Predikat
Bapa sayaseorang pensyarah

Contoh ayat majmuk (yang mempunyai lebih dari satu klausa). Dua klausa tersebut digabungkan oleh kata hubung.

Contoh ayat majmuk:
Bapa saya seorang pensyarah tetapi ibu saya seorang cikgu
Klausa 1Kata HubungKlausa 2
Frasa SubjekFrasa PredikatKata HubungFrasa SubjekFrasa Predikat
Bapa sayaseorang pensyarahtetapiibu sayaseorang cikgu

Pola Ayat Dasar

Ayat Dasar ialah ayat yang menjadi dasar atau sumber bagi pembentukan semua ayat lain dalam sesuatu bahasa. Ayat ini menjadi ayat dasar kepada ayat-ayat lain. Ada empat pola ayat dasar iaitu:

  1. Pola 1 : Frasa Nama + Frasa Nama (FN + FN)
  2. Pola 2 : Frasa Nama + Frasa Kerja (FN + FK)
  3. Pola 3 : Frasa Nama + Frasa Adjektif (FN + FA)
  4. Pola 4 : Frasa Nama + Frasa Sendi Nama (FN + FS)

Susunan Ayat: biasa & songsang

Ada dua susunan ayat iaitu susunan biasa dan susunan songsang. Kedua-dua susunan ayat ini mempunyai subjek dan predikat. Walaupun disongsangkan susunan subjek dan predikat, makna ayat tetap tidak berubah.

Susunan Biasa

Dalam susunan ayat biasa (ayat normal), subjek didahulukan sebelum predikat.

Contoh:

SubjekPredikat
1Cikgu ituialah bapa saya
2Makcik Limahpergi ke kedai
3Pencuri itulari lintang-pukang
4Buah rambutan di belakang rumahsudah masak

Susunan Songsang

Dalam susunan ayat songsang, predikat pula yang didahulukan sebelum subjek. Tujuan penyongsangan melalui proses pendepanan itu ialah untuk memberi penekanan kepada predikat.

Contoh:

PredikatSubjek
1Baik sungguhperangai anaknya
2Tidak berguna lagipenyesalannya
3Lari lintang-pukangpencuri itu
4Sudah masakrambutan di belakang rumah saya

No comments:

Post a Comment