Nov 7, 2016

Konsep Bahasa

Bahasa ialah suatu kaedah yang digunakan oleh manusia untuk berkomunikasi sesama sendiri sama ada melalui pertuturan (lisan), tulisan, atau isyarat dan simbol tertentu. Kaedah yang paling utama yang digunakan untuk berkomunikasi sudah tentulah melalui percakapan / pertuturan / lisan.

Bentuk-bentuk Bahasa

Bahasa lisan
Bahasa lisan ialah bahasa yang terhasil melalui bunyi kata-kata (ujaran) yang keluar melalui mulut, yang disusun menjadi ayat yang sempurna maksudnya, atau yang boleh menyampaikan maksud. Bunyi yang keluar dari mulut manusia tetapi tidak membawa apa-apa makna dianggap bukan bahasa sebaliknya hanyalah 'bunyi' semata-mata. Oleh itu kata-kata yang keluar dari mulut manusia mestilah disusun mengikut tatabahasa tertentu supaya boleh difahami oleh orang lain.

Bahasa tulisan
Bahasa tulisan pula tidak mempunyai bunyi tetapi dihasilkan menggunakan kata-kata atau ayat yang dieja dan disusun dalam satu susunan kata-kata yang membentuk ayat yang sempurna tatabahasanya.

Bahasa isyarat
Bahasa isyarat pula ialah penggunaan simbol, lambang atau warna yang mempunyai maksud tertentu yang secara umumnya difahami oleh orang ramai. Contoh yang paling mudah ialah 'warna merah' lampu isyarat di jalan raya. Warna merah tersebut membawa maksud 'berhenti', manakala warna hijau pula bermaksud 'boleh jalan'. Warna oren pula bermaksud 'bersedia untuk berhenti'.

Isyarat asap (smoke signal) adalah salah satu bahasa isyarat yang paling tua di dunia. Isyarat asap digunakan untuk memberi berita, memberitahu tentang bahaya, atau mengumpulkan orang ramai. Kaedah komunikasi visual ini boleh menyampaikan maklumat untuk jarak yang sangat jauh. Misalnya, tentera China zaman purba menggunakan isyarat asap dari satu menara Tembok Besar China ke menara yang lain. Melalui kaedah ini, tentera China mampu menyampaikan maklumat sejauh 750 km dalam masa beberapa jam sahaja. Asab pelbagai warna dihasilkan dengan membakar tahi serigala yang dicampur dengan herba tersentu.

Maksud Bahasa

Bahasa merupakan ucapan fikiran dan perasan manusia secara teratur yang mana sebahagian besarnya mempergunakan bunyi sebagai alatnya.

Selain daripada mampu memberi gambaran tentang bangsa penuturnya, bahasa juga dapat memberi gambaran tentang latar budaya sesuatu masyarakat.

Terdapat pelbagai takrifan lain tentang bahasa yang diberikan oleh pihak-pihak yang berbeza. Secara ringkasnya, bahasa ialah

  • satu sistem untuk mewakili benda, tindakan, idea dan keadaan
  • alat untuk menyampaikan konsep realiti seseorang ke dalam fikiran orang lain
  • satu sistem maksud yang ingin dikongsikan bersama
  • sejenis kod yang yang digunakan oleh ahli linguistik untuk membezakan antara bentuk perkataan dan maksud perkataan
  • sebutan yang menepati tatabahasa yang telah ditetapkan
  • satu penuturan yang dapat difahami oleh masyarakat linguistik (golongan pengkaji bahasa)
  • suatu bentuk pemikiran

Menurut Kamus Linguistik (1997), bahasa adalah keupayaan fitrah manusia yang berupa satu sistem lambang bunyi bersuara arbitrari yang dipersetujui bersama oleh satu kelompok masyarakat atau satu kumpulan sosial dan digunakan sebagai alat untuk berinteraksi sesama sendiri.

Menurut Kamus Dewan, edisi keempat, bahasa ialah 'sistem Lambang bunyi suara' yang dipakai sebagai alat perhubungan dalam lingkungan satu kelompok manusia.

Yunus Maris dalam Kamus Fajar mendefinisikan bahasa sebagai tutur kata, pertuturan, bunyi yang dituturkan oleh manusia, yang menjadi perkataan, rangkai kata, ayat, apa-apa sahaja yang tertulis, adab dan budi pekerti. Beliau lebih menekankan tiga unsur utama iaitu (1) pertuturan yang terangkum di dalamnya bunyi, perkataan dan ayat, (2) manuskrip atau bahan bertulis, dan (3) adab atau sopan santun.

A.S. Hornby dan E.C. Parnwell dalam The Progressive English Dictionary pula mendefinisikan bahasa sebagai perkataan dan penggunaannya yang diwujudkan oleh sesuatu bangsa dan digunakan oleh negara tersebut. Dengan perkataan lain bahasa ialah cara penggunaan perkataan yang tertentu oleh penutur atau bangsa sesebuah daerah atau negara.

Daripada sudut linguistik, bahasa ialah satu sistem bunyi-bunyi vokal dan konsonan, dengan urutan bunyi yang dipakai sewenang-wenangnya ataupun digunakan dalam komunikasi oleh sekumpulan manusia.

Bidang Kajian Bahasa

Bidang kajian bahasa meliputi aspek fonologi, morfologi, sintesis dan semantik (kajian tentang makna). Selain itu terdapat kajian psikolinguistik, sosiolinguistik, dialektologi (kajian tentang bahasa dialek atau slanga), linguistik sejarah dan lain-lain lagi. Bidang kajian lain ialah etimologi (mengkaji asal usul dan perkembangan sesuatu kata). Kesemua bidang kajian ini, mempunyai hubungan rapat antara bahasa dan masyarakat kerana sudah sememangnya yang menggunakan bahasa itu ialah anggota masyarakat itu sendiri.

Kenapakah Manusia Bertutur (menggunakan bahasa)

Salah satu sebab utama ialah untuk menyampaikan maklumat yang difikirkan atau diterbitkan daripada akal manusia. Selain itu, percakapan (melalui bahasa) membolehkan manusia menerima maklumat daripada persekitaran fizikal dan sosial, sama ada dalam bentuk rangsangan lisan ataupun tulisan

Fungsi utama bahasa, seperti disebutkan di atas, adalah sebagai alat komunikasi, atau sarana untuk menyampaikan informasi (fungsi informatif). Tetapi, bahasa pada dasarnya lebih dari sekadar alat untuk menyampaikan informasi, atau mengutarakan pikiran, perasaan, atau gagasan, karena bahasa juga berfungsi:

  • untuk tujuan praktis: mengadakan hubungan dalam pergaulan sehari-hari

  • untuk tujuan artistik: manusia mengolah dan menggunakan bahasa dengan seindah-indahnya guna pemuasan rasa estetis manusia

  • sebagai kunci mempelajari pengetahuan-pengetahuan lain, di luar pengetahuan kebahasaan

  • untuk mempelajari naskah-naskah tua guna menyelidiki latar belakang sejarah manusia, selama kebudayaan dan adat-istiadat, serta perkembangan bahasa itu sendiri (tujuan filologis).

Kenapakah kita menggunakan bahasa?

Manusia menggunakan bahasa untuk bertanyakan sesuatu, memberitahu sesuatu, meluahkan rasa hati.

No comments:

Post a Comment