Nov 7, 2016

Bentuk Kata - Kata Ganda

  • Kata ganda ialah perkataan yang diulang atau digandakan untuk menunjukkan unsur jamak iaitu bilangannya jadi banyak atau bertambah lebih dari satu.

  • Perkataan yang diulang atau digandakan tersebut boleh terdiri dari kata dasar atau kata terbitan.

  • Pengulangan atau penggandaan tersebut adalah sekali sahaja. Contoh: batu digandakan menjadi batu-batu dan bukan batu-batu-batu.

  • Kata ganda dipisahkan oleh tanda sempang, kecuali jenis kata ganda separa.

  • Tujuan penggandaan adalah untuk menghasilkan bentuk jamak (iaitu untuk menunjukkan bilangannya menjadi banyak atau bertambah lebih dari satu).

Kata ganda terbahagi empat iaitu

  1. kata ganda penuh
  2. kata ganda separa
  3. kata ganda berentak, dan
  4. kata ganda semu

1. Kata ganda penuh

Kata ganda penuh ialah kata dasar atau kata terbitan yang diulang atau diganda seluruhnya. Kata tersebut diulang tanpa perubahan ejaan.

Contoh:

Penggandaan Kata Dasar
Satu sahajaLebih dari satu
KerusiKerusi-kerusi
KeretaKereta-kereta
AdikAdik-adik
BiniBini-bini

Penggandaan Kata Terbitan
Satu sahajaLebih dari satu
PeladangPeladang-peladang
PenyanyiPenyanyi-penyanyi
LatihanLatihan-latihan
MakananMakanan-makanan

2. Kata ganda separa

Kata ganda yang tidak digandakan sepenuhnya tetapi digandakan sebahagian sahaja. Penggandaan separa akan menghilangkan tanda sempang. Jumlah huruf dan jumlah suku kata juga menjadi kurang dari kata ganda penuh.

Contoh:

Kata Ganda penuhKata Ganda separa
jari-jarijejari
kuda-kudakekuda
balang-balangbebalang
laki-lakilelaki
sungut-sungutsesungut
bawang-bawangbebawang
bola-bolabebola
buli-bulibebuli
cair-caircecair
daun-daundedaun
gendang-gendanggegendang
kacang-kacangkekacang
pohon-pohonpepohon

3. Kata ganda berentak

Kata ganda yang seolah-olah mempunyai rentak apabila digandakan.

Contoh:

hingar-bingarlauk-pauksayur-mayur
kuih-muihpapa-kedanaselok-belok
cerai-beraitungkus-lumushina-dina
asal-usulbukit-bukaugunung-ganang
mundar-mandirkayu-kayanmandi-manda
bolak-balikbatu-batanporak-peranda

4. Kata ganda semu

Makna 'semu' ialah 'bukan yang sebenarnya'. Kata ganda semu mengalami pengulangan kata namun tidak mengalami pertambahan jumlah. Kata ganda semu tidak menggambarkan jamak. Jumlahnya tetap satu, namun kelihatan seperti banyak (atau lebih dari satu) kerana penggandaan katanya.

Sila lihat contoh-contoh di bawah:

Kata Ganda SemuSatu atau banyak?
Kura-kuraSeekor (haiwan)
Layang-layangSekeping (permainan)
Ura-uraSatu (cadangan)
Agar-agarSepotong (makanan)
Pura-puraSatu sifat manusia
Rama-ramaSeekor (haiwan)
Jemput-jemputSeketul (kueh)

12 comments:

  1. kata ganda separa bagi:

    baik=
    ura=
    kerat=
    bantu=

    ReplyDelete
    Replies
    1. Kerja cg suh buat sendiri ko google😂

      Delete
    2. kata ganda separa hanya berasal dari kata ganda. baik, ra, kerat dan bantu bukan kata ganda. jadi tiada kata ganda separa untuk perkataan tersebut.

      Delete
  2. Replies
    1. sumpah = aku janji, ikrar.
      sumpah-sumpah (atau sesumah) = sejenis haiwan

      Delete
  3. Adakah rama-rama tergolong di dalam kata ganda atau kata akar,kerana klu rama sahaja sudah hilang tu arti rama-rama sbg seekor ungas?!

    ReplyDelete
    Replies
    1. Betul tetapi sekiranya ia kata ganda separa ia akan jadi rerama

      Delete
    2. rama-rama ialah kata ganda semu. sama seperti anai-anai, semut-semut (kebas), otak-otak (sejenis makanan)

      Delete