Nov 7, 2016

Bahasa Melayu

Bahasa Melayu (بهاس ملايو) adalah antara bahasa utama dalam keluarga bahasa Austronesia dan digunakan dengan meluas di Malaysia, Brunei, Indonesia dan Singapura oleh lebih kurang 270 juta orang penduduk. Setiap negara ini menggunakan variasi bahasa Melayu yang berbeza dengan nama-nama yang berbeza juga. Dua variasi utama ialah Bahasa Melayu dan Bahasa Indonesia.

Selain dari negara-negara yang disebutkan tadi, Bahasa Melayu juga dikesan digunakan oleh masyarakat di Afrika Selatan, Sri Lanka, Thailand selatan, Filipina selatan, Myanmar selatan, sebagian kecil Kamboja, hingga Papua Nugini (New Guinea). Bahasa ini juga dituturkan oleh penduduk Pulau Christmas dan Kepulauan Cocos, yang menjadi sebahagian Australia.

Bahasa Melayu yang digunakan sekarang ini dipercayai berasal dari Bahasa Melayu Kuno (Bahasa Melayu Tua) yang pernah dipakai pada sekitar abad ke-7 hingga abad ke-13. Bahasa Melayu Klasik pula digunakan antara abad ke-15 hingga abad ke-19.

Pada sepanjang tempoh tersebut, Bahasa Melayu mengalami evolusi dari Bahasa Melayu Kuno yang berasaskan kosa kata Sanskrit), kepada Bahasa Melayu Klasik yang banyak berasaskan kosa kata Arab, Hindi.

Kedatangan penjajah Portugis dan Belanda telah memperkenalkan tulisan Roman (ejaan rumi) ke dalam Bahasa Melayu. Pada abad ke-15 juga, Bahasa Melayu dikatakan telah menjadi bahasa perantara (lingua franca) di Asia Tenggara. Bahasa Melayu moden sekarang ini masih mempunyai pengaruh atau kesan bahasa lama dan bahasa penjajah seperti penggunaan kata 'halal' (Arab), 'bandar' (Parsi), 'rokok' (Belanda), 'almari' (Portugis).

Suatu ketika duhulu Indonesia pernah mencuba untuk menggabungkan kedua-dua variasi bahasa Melayu di Malaysia dan Indonesia supaya menjadi satu variasi yang ingin disebut sebagai Bahasa Malindo. Namun usaha tersebut tidak berjaya.

Selepas Tanah Melayu (Malaya) mencapai kemerdekaan dalam tahun 1957, Bahasa Melayu mencapai taraf 'bahasa kebangsaan' negara. Bahasa Melayu kemudiannya disebut silih berganti dengan nama Bahasa Melayu, Bahasa Malaysia dan Bahasa Kebangsaan.

Bahasa Rasmi negara

Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan menjelaskan bahawa bahasa Melayu yang dikenali juga sebagai bahasa Malaysia ialah bahasa rasmi yang tidak boleh dipertikai fungsi dan peranannya sebagai Bahasa Kebangsaan.

Kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dimantapkan lagi dengan Akta Bahasa Kebangsaan 1967.

Sebagai bahasa rasmi negara, Bahasa Melayu digunakan untuk semua urusan rasmi pada peringkat kerajaan persekutuan, kerajaan negeri dan juga badan berkanun. Contohnya adalah dalam bidang pentadbiran undang-undang, kehakiman dan mahkamah telah menggunakan bahasa Melayu. Kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa mahkamah bertambah baik setelah Seksyen 8 Akta Bahasa Kebangsaan dipinda (Jun 1991).

Bahasa rasmi ialah bahasa yang digunakan dalam situasi rasmi, iaitu dalam urusan pemerintahan dan pentadbiran, sistem pendidikan negara, urusan perdagangan dan perusahaan, majlis-masjlis rasmi, kehakiman dan sebagainya.

Bahasa rasmi tidak semestinya merupakan bahasa kebangsaan. Ini kerana bahasa rasmi ialah bahasa yang semata-mata dianggap sebagai alat untuk tujuan tertentu yang tidak perlu dikaitkan dengan semangat kebangsaan. Biasanya bahasa rasmi dipilih daripada salah satu bahasa anak negeri dan ada kalanya dipilih daripada bahasa penjajah. Bagi negara yang mempunyai bahasa yang maju, bahasa yang banyak laras bahasanya akan dijadikan bahasa rasmi. Contohnya bahasa Melayu menjadi bahasa rasmi negara kita kerana bahasa ini dapat digunakan sebagai bahasa ilmu dan dapat difahami umum oleh semua kaum.

Sesetengah negara mempunyai lebih dari satu bahasa kebangsaan, seperti Kanada, yang menggunakan bahasa Perancis dan Inggeris. Bahasa kebangsaan boleh jadi sama dengan bahasa rasmi tetapi tidak semestinya. Bahasa kebangsaan juga mungkin berbeza dengan bahasa yang umum digunakan rakyat negara tersebut.

Bahasa Melayu vs Bahasa Malaysia

Bahasa Melayu disebut dengan beberapa nama, namun nama yang paling popular ialah 'Bahasa Melayu' dan 'Bahasa Malaysia'. Di Malaysia kini seolah-olah terdapat kekeliruan dalam kalangan masyarakat mengenai nama apakah yang patut digunakan untuk bahasa kebangsaan negara kita secara tepat dan muktamad.

Ada pandangan yang mengatakan bahasa Tunku Abdul Rahman ialah orang yang memperkenalkan istilah 'Bahasa Malaysia' sebagai nama untuk bahasa kebangsaan Malaysia. Istilah ini kemudiannya dipakai secara meluas. Ada juga yang berpendapat bahasa nama tersebut sebenarnya timbul secara spontan selepas tragedi 13 Mei 1969. Terdapat bukti-bukti bahawa panggilan tersebut digunakan dalam liputan akhbar pada masa itu. Pada masa itu seolah-olah telah wujud semacam persetujuan ramai terhadap istilah Bahasa Malaysia. Walau bagaimanapun, panggilan tersebut tidak mengubah nama 'Bahasa Melayu' dalam perlembagaan.

Pada tahun 1986 pula, istilah 'Bahasa Malaysia' telah ditukar kepada 'Bahasa Melayu'. Penukaran ini dibuat selaras dengan apa yang termaktub dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan Malaysia, iaitu: 'Bahasa kebangsaan ialah bahasa Melayu'.

Seterusnya pada 4 Jun 2007, Kabinet Malaysia telah membuat keputusan untuk menukarkan penggunaan 'Bahasa Melayu' kepada 'Bahasa Malaysia'. Kabinet mengarahkan supaya semua kementerian, universiti dan pusat pengajian tinggi supaya memaklumkan jabatan serta agensi berkaitan untuk menggunakan istilah 'Bahasa Malaysia' dalam surat-menyurat, notis dan dokumen. Rasionalnya ialah untuk menanam semangat perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia yang berbilang kaum. Pada 5 November 2007, Menteri Penerangan Malaysia pada masa itu, Datuk Seri Zainuddin Maidin, menegaskan lagi bahawa penggunaan istilah baru 'Bahasa Malaysia' adalah muktamad.

Sejarah Penulisan Tulisan Melayu

Adalah dipercayai bahasa tulisan bahasa Melayu yang mula-mula dipakai adalah tulisan Pallava yang berasal dari India. Tulisan asal ini kemudiannya mengalami perubahan secara berperingkat. Daripada tulisan Pallava, perubahan berlaku menjadi tulisan Kawi, kemudiannya tulisan Jawi, dan akhirnya sekarang kita menggunakan tulisan Rumi (Roman).

Kaedah Rumi merupakan kaedah rasmi Bahasa Malaysia seperti yang dimaktub dalam Perlembagaan Malaysia. Kaedah tersebut paling kerap digunakan dalam kehidupan seharian. Walau bagaimanapun, tetap ada pelbagai usaha yang dilancarkan untuk menghidupkan semula kaedah penulisan Jawi.

Ejaan Rumi Baharu Bahasa Malaysia pula merujuk kepada sistem ejaan yang telah diisytiharkan penggunaannya serentak di Kuala Lumpur dan di Jakarta pada tanggal 16 Ogos 1972. Di Kuala Lumpur, pengisytiharan tersebut dilakukan oleh Perdana Menteri Malaysia pada masa itu, Tun Abdul Razak manakala di Jakarta, oleh Presiden Suharto. Mulai saat itu, bahasa Melayu di Malaysia dan bahasa Indonesia di Indonesia menggunakan sistem ejaan yang sama.

Skop Penggunaan Bahasa Melayu

Bahasa Melayu yang disebut sebagai Bahasa Malaysia sekarang ini dijadikan bahasa rasmi tunggal di Semenanjung Malaysia pada tahun 1968, dan di Sabah dan Sarawak mulai tahun 1974. Walau bagaimanapun, bahasa Inggeris tetap menjadi bahasa yang penting dan menjadi bahasa kedua di Malaysia.

Pengaruh Bahasa Asing dalam Bahasa Melayu

Sejak zaman kuno lagi, Bahasa Melayu telah banyak menyerap pengaruh bahasa-bahasa asing seperti Sanskrit, Jawa, Arab, Hindi, Tamil, Parsi, Inggeris dan Portugis.

Misalnya, terdapat 131 perkataan dalam Bahasa Melayu sekarang yang berasal daripada bahasa Portugis. Penyerapan bahasa asing ini berlaku semasa bangsa Portugis menjajah Melaka pada tahun 1511 hingga 1641. Beberapa contoh perkataan Portugis yang diserap dalam bahasa Melayu adalah seperti berikut:

Bahasa PortugisBahasa Melayu
Armario Almari
BolaBola
CamisaKemeja
DadoDadu
KursiKerusi
GarfoGarpu
IgrejaGereja
LimaoLimau
MenteigaMentega
DomingoMinggu
PadrePaderi
ToalhaTuala
JanelaJendela
EscolaSekolah
SabadoSabtu
SabaoSabun
SapatoSepatu

No comments:

Post a Comment