Nov 6, 2016

Kesantunan Berbahasa

  1. Kesantunan berbahasa bermaksud kesopanan dan kehalusan budi bahasa dalam pemakaian bahasa semasa berkomunikasi sama ada secara lisan atau tulisan.
  2. Kesantunan berbahasa melibatkan penggunaan bahasa yang betul, sopan dan bertatasusila.
  3. Menurut Awang Sariyan dalam bukunya 'Santun Berbahasa', kesantunan bahasa ialah penggunaan bahasa yang baik, sopan beradab, melancarkan peribadi mulia dan menunjukkan penghormatan kepada pihak yang menjadi teman bicaranya.
  4. Kesantunan berbahasa merupakan sebahagian dari imej bahasa Melayu dan budaya Melayu yang bertujuan untuk mewujudkan keharmonian antara dua pihak yang bertinteraksi.
  5. Penggunaan perbendaharaan kata yang kurang tepat semasa berkomunikasi boleh menyebabkan salah paham, menimbulkan kemarahan atau menjatuhkan air muka seseorang.
  6. Kesantunan berbahasa dalam sistem bahasa Melayu boleh dilihat melalui aspek-aspek berikut:
    • sistem kata sapaan
    • penggunaan kata panggilan hormat
    • penggunaan bahasa yang tepat
    • pemilihan kata dan ayat yang sesuai dengan konteks
    • isi bahasa yang tidak menyentuh sensitiviti seseorang
    • penggunaan bahasa halus

Kata sapaan

  1. Dalam bahasa Melayu, bahasa sapaan ialah cara yang digunakan untuk menyapa atau menegur seseorang sama ada dalam konteks rasmi atau tidak rasmi.
  2. Bahasa sapaan perlu digunakan dengan betul dan sesuai mengikut konteks semasa berkomunikasi.
  3. Tujuannya adalah supaya tidak menyinggung perasaan orang lain yang disapa itu atau untuk menjaga air mukanya di khalayak ramai.

Contoh:

Kata sapaanDitujukan kepada...
EncikLelaki yang lebih berpangkat dari orang yang menyapa
EncikLelaki yang baru dikenali tetapi dirasakan lebih tinggi kedudukan dari orang yang menyapa
PuanPerempuan yang sudah berkawin
PuanPerempuan yang ada pangkat
CikPerempuan yang belum berkahwin
SaudaraLelaki yang baru dikenali
CikguGuru lelaki dan perempuan
TuanOrang yang mempunyai kedudukan yang lebih tinggi (dalam pangkat pekerjaan) dari orang yang menyapa
Tuan HajiLelaki (walaupun tidak berpangkat) yang telah pergi haji.

Panggilan hormat

Panggilan hormat ialah ganti nama diri kedua iaitu memanggil seseorang dengan menyebutkan pangkatnya sama ada pangkat akademik, pangkat sosial, pangkat dalam jentera kerajaan, pangkat kurniaan dan yang seumpama dengannya.

Contoh:

PangkatPanggilan hormat
Perdana MenteriYang Amat Berhormat
Timbalan Perdana MenteriYang Amat Berhrmat
Menteri BesarYang Amat Berhormat
Ketua MenteriYang Amat Berhormat
MenteriYang Berhormat
Ahli Dewan NegaraYB Senator
Ahli Dewan RakyatYB (Yang Berhormat)
Peguam NegaraYang Berbahagia (YBhg.)
HakimYang Arif
Tengku, Tunku, Engku, UngkuYang Mulia (YM)
RajaYang Mulia (YM)
Syed, SheikhTuan
MuftiSahibus Samahah

Pemilihan sinonim

Pemilihan sinonim (perkataan sama maksud) yang sesuai semasa berbahasa juga merupakan salah satu cara bersopan santun dalam berbahasa.

Contoh:

PerkataanSinonim dengan...
Makansantap
mencekek
mengkedarah
Matimangkat
wafat
mampus
kojol

Bahasa halus

  1. Bahasa halus ialah bahasa atau perkataan lain yang lebih lembut yang digunakan untuk menggantikan perkataan asal yang dirasakan kasar atau mungkin menyentuh perasaan orang lain (Kamus Dewan Edisi 4).
  2. Bahasa halus juga merupakan suatu sistem bahasa yang beradat, bersopan santun dan berbudaya tinggi. Perkataan-perkataan yang dituturkan melambangkan kesopanan dan bernilai tinggi serta lengkap dengan sistem nahu. (Kamus Simpulan Bahasa, oleh Ainon Mohd).
  3. Sasterawan bahasa Melayu yang tersohor, Zaaba, mengaitkan bahasa halus dengan bahasa kiasan. Menurut Za'ba, bahasa kiasan ialah bahasa yang memperkatakan sesuatu perkara dengan mengiaskannya kepada orang lain sama ada dengan menyebut bandingan atau tanpa menyebutkan bandingan (Diksi dan Gaya Bahasa, oleh Dr. Gorys Keraf).

Contoh 'bahasa halus' dan 'bahasa kasar':

Bahasa KasarBahasa Halus
Kencingbuang air kecil
Matimeninggal dunia
pulang ke Rahmatullah
kembali mengadap Ilahi
Orang gajipembantu rumah
Buntingberbadan dua
Tanam (mayat)dikebumikan
disemadikan
Gemuk (bayi)semangat

No comments:

Post a Comment