Nov 6, 2016

Peribahasa

  • Keris Mas (1988) – peribahasa ialah sejenis gaya percakapan atau ujaran yang berisi kebijaksanaan fikiran dan pemerhatian, yang tersusun dalam bentuk yang ringkas, indah, sedap didengar serta benar pada perasaan dan fikiran.

  • Setiap peribahasa sudah terbentuk dan digunakan begitu lama dalam pergaulan umum yang menjadi kata-kata bandingan, teladan serta pengajaran.

  • Peribahasa berfungsi untuk menimbulkan keindahan berbahasa, menguatkan makna dan menimbulkan suasana yang sesuai dengan perasaan dan pemikiran.

  • Wikipedia – Peribahasa ialah susunan kata yang pendek dengan makna yang luas, mengandungi kebenaran, sedap didengar, bijak perkataannya dan senang difahami.

  • Peribahasa ialah sebahagian daripada bahasa kiasan dalam budaya Melayu.

Peribahasa dalam bahasa Melayu boleh dibahagikan kepada empat bahagian (Kamus Sastera Melayu terkini 2000: 69) iaitu:

  1. perumpamaan
  2. simpulan bahasa
  3. bidalan
  4. pepatah

Simpulan bahasa

  • Jenis peribahasa yang paling ringkas dan mudah.
  • Rangkaian perkataan yang dirumus mengikut susunan tertentu untuk membawa maksud tertentu.
  • Membawa maksud yang berlainan daripada perkataan asal.
  • Biasanya mempunyai dua perkataan yang digabungkan.

Contoh:

Simpulan BahasaMaksud
Berpatah arangbercerai yang tidak dapat disatukan lagi
Senapang buluhcakap-cakap besar yang tidak berisi
Berat tulangpemalas
Ringan tulangrajin
Berat hatitak sampai hati
Ada hatiada keinginan yang melebihi kemampuan
Alim-alim kucingseseorang yang berpura-pura baik dari segi tingkah laku dan peraturan
Angkat bakulorang yang suka memuji atau meninggikan diri
Banyak mulutorang yang suka bercakap
Batu apipenghasut

Bidalan

  • Susunan kata yang menarik dan melekat di mulut orang ramai.
  • Mempunyai erti selapis
  • Menggambarkan kehidupan, pengajaran, pendidikan dan anutan orang Melayu.
  • Terkandung perbandingan, teladan dan pengajaran

Contoh:

BidalanMaksud
Biar lambat, asalkan selamatJika melakukan sesuatu tidak perlu tergesa-gesa asalkan mendapat hasil yang baik
Biar titik, jangan tumpahLebih baik rosak sedikit daripada rosak semuanya
Biar putih tulang, jangan putih mataLebih baik mati berjuang daripada menanggung malu kerana kekalahan
Berani kerana benar, takut kerana salahBerani bertindak kerana merasakan dirinya tidak bersalah
Buat baik berpada-pada, buat jahat jangan sekaliBerbuat baik janganlah berlebih-lebihan namun buat jahat jangan sama sekali

Pepatah

  • Peribahasa yang berisi nasihat.
  • Kata-kata orang dulu-dulu yang mengandungi pengajaran.
  • Mementingkan pengajaran dan pendidikan.
  • Mempunyai ringkasan perkataan yang berkerat-kerat atau berpatah-patah

Contoh:

PepatahMaksud
Ditelan mati emak, diluah mati bapa Serba salah untuk buat keputusan
Harapkan pagar, pagar makan padi Dikhianati oleh orang yang diberikan kepercayaan
Direndam tak basah, dibakar tak hangus Seseorang yang sukar untuk dikalahkan
Ditangkap buaya nampak riaknya, ditangkap malas tidak bertanda Sifat malas seseorang tak dapat dikesan sehinggalah diberikan tugas
Bergalah ke hilir tertawa buaya, bersuluh di bulan terang tertawa harimau Melakukan sesuatu yang sia-sia

Perbilangan

  • Peribahasa yang melahirkan kata-kata yang sudah menjadi seperti peraturan atau undang-undang atau nasihat yang dapat dijadikan pegangan (DBP).
  • Simpulan pendapat dan pemikiran yang padat, jujur dan benar tentang nilai-nilai moral dan sosial.
  • Muncul hasil daripada kebijaksanaan dan keintelektualan yang berdasarkan penelitian dan pemerhatian dalam jangka masa yang lama.
  • Kata-kata yang disusun dalam dua baris atau lebih.
  • Disebut satu per satu seperti membilang

Contoh:

PerbilanganMaksud
Hidup dikandung adat,
mati dikandung tanah
Selagi hidup ikutlah peraturan yang ada dan apabila mati kelak berserah kepada hukum Tuhan
Dayung sudah di tangan,
perahu sudah di air
Sudah dapat semua yang dikehendaki
Berat sama dipikul,
ringan sama dijinjing
Susah dan senang dihadapi bersama-sama
Yang lama di kelek,
yang baharu didukung
Adat lama tetap diamalkan di samping budaya yang baru
Yang bulat tak datang menggolek,
yang pipih tak datang melayang
Sesuatu kejayaan tidak akan diperolehi tanpa usaha
Kecil jangan disangka anak,
besar jangan disangka bapa
Pengetahuan atau kelebihan bukan khusus untuk orang tua sahaja
Merajuk kepada yang kasih,
manja pada yang sayang,
meminta kepada yang ada,
berkaul kepada yang keramat
Melakukan sesuatu biar sesuai mengikut keadaan supaya mendapat hasil yang baik

Perumpamaan

  • Peribahasa yang bermakna dua lapis.
  • Hasil daripada perbandingan antara dua perkara – iaitu yang menyatakan sesuatu maksud dengan yang membandingkan dengan sesuatu perkara lain yang seumpama dengannya.
  • Terbahagi dua iaitu yang menyebut perbandingan dan yang tidak menyebut perbandingan.
  • Perumpamaan yang menyebut perbandingan menggunakan kata-kata seperti bak.., sepantun…, bagai…, macam…, ibarat…, laksana…, umpama…

Contoh:

PerumpamaanMaksud
Seperti telur di hujung tandukKeadaan yang bahaya yang hanya menunggu masa untuk binasa
Bagai ikan pulang ke lubukOrang yang balik ke tempat asalnya dan tidak mahu ke mana-mana lagi
Umpama aur dengan tebingSaling bantu-membantu (saling memerlukan)
Laksana pungguk rindukan bulanMenghaapkan sesuatu yang mustahil diperolehi
Ibarat air di daun keladiMemberi nasihat pada seseorang namun tidak mendatangkan hasil
Bak cendawan tumbuh selepas hujanSesuatu yang terlalu banyak pada satu-satu masa

Perumpamaan tanpa menyebut perbandingan
PerumpamaanMaksud
Tak kan harimau makan anaknyaMacam mana jahat sekalipun, seseorang itu tidak akan membinasakan anaknya sendiri
Belakang parang diasah lagikan tajamOrang yang tidak pandai tetapi rajin berusaha akhirnya akan berjaya juga
Ukur baju di badan sendiriBuatlah sesuatu mengikut kemampuan sendiri

No comments:

Post a Comment